Site icon TechNave BM

Catcha Digital catat untung melonjak, hasil cecah RM67.6 juta pada 2025

Catcha Digital Berhad mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi FY2025 dengan pencapaian rekod merentasi metrik utama. Mereka mencatat hasil RM67.63 juta (+76% YoY), Adjusted EBITDA RM14.76 juta (+83%), Adjusted PATAMI RM8.54 juta (+64%) dan Adjusted EPS 2.26 sen (+53%). Aliran tunai operasi bersih bertukar positif kepada RM11.0 juta berbanding aliran keluar RM3.92 juta manakala kedudukan tunai meningkat kepada RM30.74 juta setakat 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif, Eric Tan berkata prestasi didorong integrasi pengambilalihan dalam segmen B2B expo serta pengembangan perniagaan media digital dengan prestasi operasi teras kekal kukuh walaupun angka berkanun mengandungi pelarasan bukan tunai berkaitan M&A. Pertumbuhan turut disokong sumbangan syarikat baharu termasuk One International Exhibition Sdn Bhd yang menyumbang RM7.17 juta hasil.

Sepanjang 2025, Catcha Digital Berhad melengkapkan tujuh pengambilalihan syarikat termasuk Maxoom Sdn Bhd, Framemotion Studio Sdn Bhd, Headline Media Sdn Bhd, Tastefully Malaysia Sdn Bhd, Drive 2 Digital Sdn Bhd dan Nexible Solutions Sdn Bhd dengan jangkaan keuntungan agregat proforma sekitar RM16.1 juta dalam tempoh 12 bulan selepas pelengkapannya.

Daripada segi pembiayaan, Catcha Digital menyelesaikan terbitan hak saham RM24.3 juta yang terlebih langgan 78% dengan potensi tambahan sehingga RM73 juta melalui waran, selain kemudahan kredit pusingan RM35 juta bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad. Ini menjadikan kapasiti dana pengambilalihan melebihi RM100 juta.

Pengerusi, Patrick Grove berkata kumpulan menjangkakan sumbangan penuh tujuh pengambilalihan tersebut dalam FY2026 sambil terus menilai peluang M&A dalam tiga teras utama iaitu media digital, ekspo B2B dan penyelesaian IT dengan asas modal dan aliran tunai yang kukuh menyokong trajektori pertumbuhan mampan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version