Site icon TechNave BM

Celcom mahu meluaskan liputan 4G di Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini

Celcom Axiata Bhd (Celcom) menyasar untuk meluaskan liputan dan kapasiti perkhidmatan 4G LTEnya meliputi 92 peratus Sarawak dan 85 peratus Sabah menjelang akhir tahun ini. Ketua Pegawai Operasi Celcom, Afizulazha Abdullah berkata dengan peningkatan itu, pelanggan di Sabah dan Sarawak akan menerima perkhidmatan 4G LTE yang lebih baik.

Afizulazha berkata Celcom juga amat mementingkan menaik taraf rangkaiannya di Sabah dan Sarawak sejajar dengan aspirasi pelan infrastruktur digital negara yang dikenali sebagai JENDELA. Pada April lalu, Celcom mengumumkan peruntukan lebih RM200 juta untuk kerja-kerja menaik taraf rangkaian di Sabah dan Sarawak untuk 2022.

Ia melibatkan peningkatan liputan dan kapasiti 4G LTE, rangkaian teras Celcom serta pelaburan dalam liputan gentian untuk Celcom Timur Sdn Bhd ( CTSB). Celcom menggunakan teknologi komprehensif seperti ‘multiple-output’ (MIMO) yang boleh mengurangkan kesesakan trafik data dan perkhidmatannya tanpa gangguan.

Selain itu, beliau berkata penggunaan perkhidmatan telekomunikasi meningkat kepada 60 peratus semasa pandemik dengan penggunaan data meningkat kepada 30 gigabait (GB) sebulan berbanding 20GB sebulan sebelum wabak itu. Celcom menjangkakan penggunaan data akan terus meningkat walaupun negara kini dalam peralihan ke peringkat endemik.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version