Site icon TechNave BM

Celcom MAX dilancar: Pelan internet rumah & mudah alih sehingga 500Mbps bermula RM179 sebulan

Celcom Axiata Berhad hari ini telah melancarkan pelan Celcom MAX iaitu sebuah pelan internet lengkap yang menggabungkan internet rumah Celcom Home Fibre serta pelan pascabayar mudah alih Celcom MEGA untuk memudahkan para pelanggan kekal berhubung sambil menjimatkan wang.

Celcom MAX akan disediakan pada harga promosi RM179 sebulan, iaitu lebih murah berbanding pelan Celcom Home Fibre (RM120) dan Celcom MEGA (RM80) jika dibeli secara berasingan, iaitu penjimatan sebanyak RM21 sebulan. Melalui promosi ini, pelanggan akan menerima internet 100Mbps tanpa had, panggilan telefon tanpa had dan penghala (router) AX percuma untuk kegunaan dalam rumah.

Pelanggan yang inginkan internet lebih pantas boleh mendapatkan Celcom MAX 300Mbps berhaga RM199 sebulan atau Celcom MAX 500Mbps berharga RM259 sebulan. Pelanggan Celcom MAX 500Mbps akan mendapat dua buah Mesh WiFi percuma untuk meluaskan capaian WiFi mereka dan akses tanpa had untuk IQIYI atau iFlix selama enam bulan.

Buat pelanggan Celcom MAX yang memilih pelan 100Mbps atau 300Mbps, mereka boleh mendapatkan dua buat Mesh WiFi pada harga RM25 untuk kegunaan selama 24 bulan.

Istimewa buat 100 pelanggan pertama Celcom MAX sebelum 9 April 2021, mereka akan menikmati satu bulan bil secara percuma. Selain itu, setiap pelanggan Celcom MAX boleh menerima potongan diskaun 50% untuk pelbagai peranti elektronik seperti televisyen Sharp 60 inci, tablet Microsoft Surface Pro X 256GB LTE atau Surface Go 2 128GB LTE.

Celcom MAX boleh mula dilanggan di mana-mana cawangan Celcom bluecube, Celcom Certified Partners atau talian Pusah Khidmat Pelanggan Celcom di 1111 atau 019-6011111. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version