Site icon TechNave BM

CelcomDigi Metaversity™ bawa landskap baharu dalam pendidikan tinggi di Malaysia

CelcomDigi telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melancarkan kaedah pembelajaran berasaskan CelcomDigi Metaversity™ pertama di Malaysia. Inisiatif ini bakal melonjakkan pembangunan bakat masa hadapan Malaysia yang pakar dalam teknologi baharu berasaskan AI dan memacu inovasi penyelesaian digital dalam landskap akademik.

CelcomDigi Metaversity™ memberi nafas baharu dalam pendidikan tinggi menerusi aplikasi teknologi seperti metaverse, XR, AI, robotik dan 5G dalam pembelajaran. Modul pembelajaran maya memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dan mencipta inovasi meliputi pelbagai sektor industri.

Pelajar yang mendaftar dalam kursus pembelajaran maya Metaversity™ CelcomDigi akan menerima pensijilan metaverse oleh VIRNECT dan XRA setelah selesai menjalani kursus tersebut. Sebanyak 10 universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UTM), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), MAHSA University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM), juga telah mengikrarkan komitmen mereka untuk menerima pakai modul pembelajaran CelcomDigi Metaversity™.

CelcomDigi akan memberikan sokongan melalui sambungan fiber dan penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) digital untuk membantu dalam perjalanan transformasi institusi pengajian tinggi berkenaan.

Inisiatif Metaversity™ CelcomDigi bermula pada 2023 melalui kerjasama dengan VIRNECT dan XRA untuk membangunkan pembelajaran dan pendidikan berasakan pengalaman menggunakan Metaverse, buat universiti di Malaysia.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version