Site icon TechNave BM

CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji Specials

Sekali lagi, CelcomDigi menganjurkan promosi akhir bulan Hari Gaji Specials yang menawarkan pelbagai pelan telekomunikasi dan telefon pintar pada harga yang lebih murah daripada biasa. Untuk hujung bulan Mei 2024, CelcomDigi menawarkan diskaun sehingga RM400 untuk pelan prabayar dan pascabayar serta pembelian peranti.

Pertama, para pelanggan pascabayar Celcom XPAX Postpaid, Celcom MEGA dan Digi Postpaid boleh membeli kuota internet 4G/5G sebanyak 1,000GB pada harga RM15 sahaja. Kuota tersebut hanya boleh digunakan selama tujuh hari dan boleh dibeli melalui aplikasi Celcom Life App atau MyDigi.

Kedua, CelcomDigi Online Shop pula menawarkan diskaun untuk telefon-telefon pintar terpilih. Ia boleh dibeli tanpa sebarang ikatan kontrak dan anda boleh dapatkan pelan bayaran ansuran sehingga 36 bulan dengan kadar faedah 0%.

Anda boleh dapatkan diskaun RM400 untuk vivo X100 Pro, anda hanya perlu gunakan kod promo “HGSVIVO” sewaktu membuat pembayaran. Selain itu, vivo V30, vivo V30 Pro dan Samsung Galaxy Tab A9 LTE pula dijual dengan diskaun sebanyak RM100, anda hanya perlu gunakan kod promo “HGSMAY” sewaktu membuat pembayaran.

Ketiga, anda boleh dapatkan kuota internet 4G/5G tambahan sehingga 30GB yang boleh digunakan dalam tempoh tujuh hari. Ia akan ditawarkan kepada pelanggan Celcom XPAX Unlimited berharga RM38 dan ke atas, atau Digi NEXT 35 dan Digi NEXT Unlimited 40. Ia boleh didapati melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet, Boost dan ZCITY.

Selain itu, mana-mana pelanggan prabayar Celcom XPAX Prepaid dan Digi Prepaid yang mendaftarkan diri melalui aplikasi Celcom Life App atau MyDigi akan menerima kuota 4G/5G tambahan sebanyak dua kali ganda.

Promosi ini akan berlangsung sehingga 27 Mei 2024. Layari laman web CelcomDigi untuk maklumat lanjut mengenainya. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan promosi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version