Site icon TechNave BM

CEO CrowdStrike minta maaf atas kerosakan komputer global, tegaskan bahawa ia bukan serangan siber

Semalam, jutaan pengguna komputer Windows di seluruh dunia mengalami masalah di mana mereka tidak boleh mengakses komputer-komputer mereka, lantas menyebabkan masalah dalam pelbagi sektor utama seperti pengangkutan, penerbangan, penyiaran, perubatan, perbankan dan banyak lagi.

Di Malaysia, kerosakan tersebut menyebabkan kesesakan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) yang menyaksikan ribuan penumpang terkandas di ruang daftar masuk penerbangan. Beberapa syarikat penerbangan termasuk AirAsia mengalami masalah dalam mendaftar masuk para penumpang.

Kerosakan tersebut berpunca daripada kemas kini kandungan (content update) Falcon untuk komputer Windows yang disediakan oleh syarikat keselamatan siber CrowdStrike. Falcon merupakan sebuah perisian yang berinteraksi dengan sistem operasi Windows bagi melindungi komputer daripada serangan siber melalui teknologi awanan.

Komputer yang mengalami kerosakan daripada kemas kini Falcon itu akan memaparkan skrin ralat biru (blue screen of death, BSOD) dan pengguna tidak boleh mengakses komputer mereka. Berikutan daripada kerosakan yang melanda seluruh dunia daripada masalah tersebut, ia kini dianggap sebagai antara kerosakan IT global yang paling teruk dalam sejarah.

Susulan daripada itu, CEO CrowdStrike, George Kurtz, ingin meminta maaf kepada semua pelanggannya dan memaklumkan bahawa pasukannya sudah menyediakan pembaikian untuk masalah tersebut. Beliau juga mengesahkan bahawa ia bukan disebabkan oleh serangan siber daripada mana-mana pihak, sebaliknya ia disebabkan oleh kemas kini Falcon untuk komputer Windows.

Komputer yang menggunakan sistem operasi Mac atau Linux tidak terjejas daripada masalah ini.

Kebanyakan komputer yang mengalami kerosakan tersebut kini telah pulih kembali, namun Kurtz meramalkan bahawa beberapa komputer mungkin masih belum pulih sepenuhnya. Beliau menggesa para pengguna yang masih mengalami masalah itu untuk menghubungi wakil CrowdStrike untuk menyelesaikannya dengan lebih lanjut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CrowdStrike, X

Exit mobile version