Site icon TechNave BM

CES 2022 akan dianjurkan di Las Vegas, bakal terima pengunjung secara fizikal

Pameran Elektrik Pengguna (Consumer Electronics Show, CES) yang biasanya dianjurkan setiap Januari di Las Vegas, Amerika Syarikat terpaksa dilaksanakan secara maya pada tahun ini berikutan wabak COVID-19 yang masih melanda negara itu. CES merupakan sebuah acara di mana pelbagai peranti elektronik diumumkan, termasuklah telefon pintar, laptop dan komputer.

Kini, CES bakal menganjurkan semula acara tersebut secara fizikal pada tahun hadapan memandangkan Amerika Syarikat kini mempunyai program pemvaksinan COVID-19 yang rancak dan mungkin membenarkan acara itu untuk dianjurkan dengan selamat. Pameran itu akan dianjurkan pada 5-8 Januari 2022, di mana pihak media boleh mendapatkan akses awal pada 3-4 Januari.

Penganjur CES, Consumer Technology Association (CTA), telah mengatakan lebih 1,000 syarikat sudah berdaftar untuk memaparkan produk terbaru mereka termasuklah AMD, Dell, Intel dan Panasonic. CTA akan turut mengadakan ruang maya buat mereka yang tidak dapat menghadiri CES secara fizikal, di mana pengunjung boleh menononton semua pengumuman dan pameran melalui siaran langsung.

Nampaknya kita mungkin boleh menghadiri acara secara fizikal sekali lagi bermula tahun hadapan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan CES 2022 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CES

Exit mobile version