OpenAI telah melancarkan ciri beli-belah baharu dalam ChatGPT yang membolehkan pengguna mendapatkan cadangan produk yang diperibadikan terus melalui perbualan dengan chatbot. Ciri ini tersedia untuk semua pengguna termasuk mereka yang tidak mempunyai akaun dan menyokong pelbagai kategori seperti fesyen, kecantikan, elektronik serta barangan rumah.
Pengguna boleh bertanya soalan seperti “Apakah mesin kopi terbaik bawah RM1,000 untuk dapur kecil?” dan ChatGPT akan memberikan senarai produk yang disesuaikan dengan keperluan tersebut. Setiap cadangan disertakan dengan imej produk, ulasan daripada sumber seperti Reddit dan laman editorial serta pautan terus ke laman penjual untuk pembelian.
Berbeza dengan platform lain seperti Google Shopping, cadangan dalam ChatGPT adalah organik dan tidak ditaja. OpenAI menekankan bahawa mereka tidak menerima komisen daripada pembelian yang dibuat melalui platform ini. Sebaliknya, cadangan produk berdasarkan metadata berstruktur seperti harga dan ulasan daripada sumber pihak ketiga.
Ciri ini kini tersedia secara global kepada semua pengguna ChatGPT termasuk pengguna percuma, Plus dan Pro serta mereka yang tidak log masuk. Langkah ini sejajar dengan strategi OpenAI untuk menawarkan alternatif carian yang lebih berfokus kepada pengguna berbanding hasil carian yang dipacu oleh iklan.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

