Chery Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah menerima pengiktirafan SIRIM untuk pek bateri lithium kenderaan elektriknya (Electric Vehicle Battery Pack – Lithium Battery), menjadikannya syarikat automotif pertama yang menerima pengiktirafan itu daripada agensi pengiktirafan tersebut.
Chery berkata baterinya sudah menjalani pemeriksaan teliti di China, menurut standard UN R100 bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan dan prestasi antarabangsa. Dengan pengiktirafan daripada SIRIM, ia meneguhkan lagi status Chery sebagai pembina kenderaan yang selamat, boleh diharap dan inovatif.
Pek bateri berkapasiti 61kWh ini sudah pun dilengkapi dalam Chery OMODA E5 iaitu satu-satunya EV yang ditawarkan dalam Malaysia oleh Chery setakat ini. Motor kenderaan ini boleh menjana kuasa kuda sebanyak 201hp dan tork 340Nm, dengan jarak WLTP sejauh 430km.
Ia kini dijual di Malaysia pada harga bermula RM146,800 dan ditawarkan dalam warna hijau Aqua Green, putih Khaki White, kelabu Phantom Grey dan hitam Dark Black.
Chery Malaysia juga berharap bateri dalam kenderaan-kenderaan Chery lain yang akan dibawa ke pasaran Malaysia pada masa akan datang, akan menerima pengiktirafan SIRIM.
Adakah anda berminat dengan Chery OMODA E5? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Chery

