Site icon TechNave BM

Cipset Dimensity 9200+ catat markah prestasi lebih tinggi daripada SD 8 Gen 2

Cipset andalan (flagship) seterusnya oleh MediaTek iaitu MediaTek Dimensity 9200+ akan dilancar secara rasmi pada 10 Mei 2023, namun kini markah awal untuk prestasi cipset tersebut telah diterbitkan dalam penanda aras Geekbench 6.

Penanda aras tersebut menunjukkan prestasi Dimensity 9200+ yang mengalahkan cipset andalan oleh Qualcomm untuk tahun ini iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, Dimensity 9200+ mencatatkan markah sebanyak 5,655 mata untuk ujian multi-teras dan 2,121 mata untuk ujian teras tunggal.

Markah Geekbench untuk Dimensity 9200+
Markah Snapdragon 8 Gen 2 dalam Geekbench 2 untuk teras tunggal (kiri) dan multi-teras (kanan), pada waktu artikel ditulis

Pada waktu artikel ini ditulis, markah tertinggi yang dicatatkan oleh Snapdragon 8 Gen 2 dalam penanda aras Geekbench adalah 1,869 mata untuk ujian teras tunggal dan 5,141 mata untuk ujian multi-teras. Ini adalah perbezaan yang agak ketara dan mungkin akan menjadikan MediaTek pengeluar cipset yang lebih diidamkan untuk telefon Android berbanding Qualcomm.

Dimensity 9200+ dijangka akan diperkenalkan untuk kali pertama dalam telefon pintar vivo X90S. Cipset ini dijangka akan mempunyai teras utama Cortex-X3 3.35GHz, tiga teras Cortex-A175 3.0GHz dan empat teras Cortex-A510.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version