Site icon TechNave BM

Cipset MediaTek Kompanio 1300T dilancar: Spesifikasi seakan Dimensity 1200

Terbaru, MediaTek telah melancarkan cipset Kompanio 1300T yang ditujukan khas kepada tablet dan komputer riba ARM. Spesifikasinya hampir sama seperti cipset Dimensity 1200 dan ia adalah generasi baru berbanding Kompanio 1200 yang telah diumumkan pada bulan November lalu.

Cipset baru ini menggunakan proses 6nm dan dilengkapi teras Cortex-A78 dan teras A55. Penambahbaikan yang baru adalah pada bahagian GPU dimana kini ia menawarkan Mali-G77 MC9 berteras 9 (cipset Dimensity 1200 menggunakan Mali G57 MC5).

Cipset ini juga hadir dengan modem 5G yang menyokong jaringan sub-6 GHz dan saluran SIM berdua.

Ia juga mampu menyokong dua skrin 1080p ataupun skrin tunggal sehingga 1440p dan menyokong sehingga kadar segar semula 120Hz dan mainan semula HDR10+. Cipset ini juga dapat menyokong sensor kamera sehingga 108MP dan rakaman video 4K sehingga 60fps.

Selain 5G, ia juga menyokong sambungan latensi rendah untuk gaming, Wi-Fi 6 dan juga Bluetooth 5.2.

Tablet pertama dengan cipset Kompanio 1300T akan diperkenalkan pada sekitar bulan Julai sehingga September ini. Melihat kepada sumber lalu, tablet HONOR V7 Pro mungkin akan menjadi peranti yang pertama.

Adakah anda berminat dengan cipset Mediatek Kompanio 1300T ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena


Exit mobile version