Site icon TechNave BM

Cipset Samsung Exynos 2200 dilancar, dilengkapi GPU AMD dan proses nod 4nm

Pada hari ini, Samsung Electronics telah memperkenalkan cipset terbaru untuk telefon pintar andalan iaitu Exynos 2200. Cipset ini mempunyai seni bina (architecture) AMD RDNA 2 Samsung Xclipse sebagai unit pemproses grafik (GPU) dan teras CPU Arm tercanggih setakat ini.

Exynos 2200 dibina dengan proses nod 4 nanometer EUV (extreme ultraviolet lithography) bagi menyediakan prestasi terpantas sambil meningkatkan kecekapan tenaga. Ia boleh menjana kadar segar semula sehingga 144Hz pada skrin telefon untuk pengalaman yang lebih lancar.

GPU berdasarkan AMDR RDNA 2 itu bakal menawarkan ciri-ciri grafik canggih yang biasanya hanya terdapat dalam komputer seperti accelerated ray tracing dan variable rate shading. Exynos 2200 merupakan cipset telefon pertama yang menyokong teknologi ray tracing. Dengan teknologi sedemikian, Exynos 2200 boleh memainkan sebarang game dengan prestasi grafik terpantas.

Cipset ini mempunyai lapan teras, terdiri daripada teras utama Arm Cortex-X2, tiga teras prestasi Cortex-A710 dan empat teras kecekapan tenaga Cortex-A510. Ia menjanjikan prestasi AI yang lebih pantas dengan NPU 16bit floating point (FP16).

Untuk rangkaian telekomunikasi pula, ia boleh dihubungkan dengan signal 4G LTE dan 5G NR untuk kelajuan sehingga 10Gbps. Cipset ini turut dilengkapi Integrated Secure Element (iSE) untuk menyimpan data kunci kriptografi dengan lebih selamat.

Daripada segi fotografi pula, Exynos 2200 mempunyai pemproses signal imej (ISP) yang menyokong resolusi sehingga 200MP, kadar 30fps untuk resolusi 108MP atau 64+36MP, hubungan sehingga tujuh sensor kamera serta rakaman 4K HDR atau 8K pada kadar 60fps.

Jelasnya, ini adalah cipset terbaru untuk menyaingi Snapdragon 8 Gen 1 dan ia mungkin akan diperkenalkan dalam siri Galaxy S22 nanti. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan cipset ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung Newsroom

Exit mobile version