Site icon TechNave BM

Ciri baharu Spotify SongDNA dedah penulis, penerbit dan inspirasi sebalik lagu

Spotify memperkenalkan ciri baharu dinamakan SongDNA iaitu sebuah pengalaman mendengar muzik interaktif yang membolehkan pengguna meneroka rangkaian kreatif di sebalik sesebuah lagu. Ia kini mula dilancarkan secara global kepada pengguna Premium dan disepadukan terus dalam paparan Now Playing pada aplikasi mudah alih.

Melalui SongDNA, pengguna boleh menekan kad SongDNA ketika memainkan lagu untuk melihat maklumat seperti penulis lagu, penerbit, kolaborator serta elemen seperti sampel, interpolasi dan lagu cover yang berkait dengan karya tersebut. Pengguna juga boleh menekan mana-mana nama pencipta yang terlibat untuk meneroka artis lain yang pernah bekerjasama dengan mereka.

Ciri ini bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam tentang proses kreatif di sebalik lagu yang didengar selain membantu peminat menemui muzik baharu melalui rangkaian kolaborasi dan pengaruh muzik. Data yang dipaparkan dalam SongDNA diperoleh daripada maklumat yang dikongsi artis dan pasukan mereka serta disokong oleh data komuniti.

SongDNA kini dilancarkan dalam versi beta untuk pengguna Premium di peranti iOS dan Android, dengan ketersediaan lebih meluas dijangka sepanjang April. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Spotify

Exit mobile version