Site icon TechNave BM

Ciri ‘Clean Up’ yang dikuasakan Apple Intelligence kini dalam fasa Beta

Apple Intelligence buat julung kalinya diumumkan pada WWDC tahun ini. Walaupun garis masa keluaran yang tepat masih tidak jelas, pelbagai ciri AI dijangka akan muncul pada tahun hadapan pada iPhone, iPad dan Mac. Kini, Apple telah mengeluarkan versi Pembangun Beta 3 iOS, iPadOS 18.1 dan macOS 15.1 Sequoia terbaharu membawa alat Clean Up berkuasa AI dalam aplikasi Foto.

Ini adalah jawapan Apple kepada Magic Eraser Google dan Object eraser Samsung. Perlu diingatkan bahawa versi beta tidak stabil. Oleh itu, tidak disyorkan untuk memuat turun dan memasang pada peranti utama anda. Ciri ini dikeluarkan hanya pada peranti yang menyokong Apple Intelligence. Ini termasuk model iPhone 15 Pro, Mac dan iPad dengan cip M.

Alat Clean Up boleh mengenal pasti dan mengalih keluar objek yang mengganggu latar belakang gambar. Walaupun ia secara bijak mengesan dan mengalih keluar unsur yang tidak diingini, pengguna juga boleh menggunakan kaedah manual seperti menandakan objek, berus dan bulatan jika ingin memadamnya.

Pengguna juga boleh mengezum masuk untuk membetulkan butiran objek yang ditanda dan mampu mengeluarkan bayang-bayang dan pantulan yang mengganggu. Ciri Clean Up boleh diakses apabila mengedit gambar dalam aplikasi Foto. Ia muncul sebagai ikon gaya pemadam di bar alat bawah.

Imej yang disunting menggunakan alat tersebut akan dilabelkan sebagai ‘Diubah suai dengan Clear Up’ dan ditambahkan pada data EXIF. Ia berfungsi dengan semua imej walaupun ia ditangkap oleh telefon lain atau DSLR. Kami boleh menjangkakan bahawa ciri ini akan dioptimumkan sehingga keluaran versi yang stabil.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MacRumors

Exit mobile version