Site icon TechNave BM

CLEADOC lancarkan ujian PCR pertama di Malaysia yang boleh dilakukan di rumah

Syarikat teknologi perubatan tempatan CLEADOC telah menandatangani sebuah perjanjian kesefahaman (MoU) dengan Neogenix bagi melancarkan kit ujian PCR Maya (Virtual PCR, V-PCR) pertama di Malaysia bagi memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia mengesan status jangkitan COVID-19 dengan lebih tepat.

V-PCR membenarkan pengguna untuk melaksanakan ujian PCR di rumah atau pejabat sahaja. Sebelum ini, ujian PCR hanya boleh dilakukan di hospital atau klinik, jadi kehadiran V-PCR ini pasti dapat membantu ramai pengguna untuk mendapatkan ujian berketepatan tinggi ini di rumah.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu mendaftarkan diri di aplikasi CLEADOC dan membeli slot V-PCR yang dibuka daripada 9:00 pagi hingga 9:00 malam. Selepas pengesahan, penghantar dengan kelengkapan cold-chain akan menghantar kit V-PCR kepada pengguna dalam waktu dan lokasi yang ditetapkan.

Kit ujian V-PCR

Selepas menerima kit V-PCR, pengguna perlu melakukan ujian COVID secepat mungkin sementara penghantar itu menunggu anda. Sebaik sahaja ujian dilengkapkan, berikan kit itu kepada penghantar dan beliau akan menghantarkan kit itu ke Neogenix untuk analisis makmal.

Pengguna akan menerima keputusan ujian dalam masa 24 jam melalui aplikasi CLEADOC. Pengguna juga boleh menjejak status penghantaran kit ujian mereka sewaktu ia dihantar ke makmal.

Buat masa ini, V-PCR hanya disediakan dalam kawasan Lembah Klang. Layari laman web CLEADOC untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version