Sub-jenama Nothing, CMF, melancarkan CMF Clip Pro sebagai peranti fon telinga terbuka (open-ear) pertama dalam barisan produk mereka. Fon telinga ini menggunakan rekaan binaan 3-point Clip Design berbentuk C dengan teras dawai titanium elastik dan berat 5.9 gram bagi setiap unit.
Ia dilengkapi pemandu pemutar dinamik dual-magnet 10.8mm dengan sokongan teknologi Ultra Bass, pengiktirafan Hi-Res Audio serta pemprosesan codec LDAC, AAC dan SBC. CMF turut menyepadukan sistem empat mikrofon HD bersama perisian Clear Voice Technology dan Sound Seal bagi mengurangkan masalah kebocoran bunyi.
Sama seperti produk audio CMF sebelum ini, bekas pengecas peranti disertakan dengan tombol pemutar fizikal Smart Dial untuk mengawal kelantangan suara, kawalan main semula dan menjawab panggilan. Setiap fon telinga menggunakan butang fizikal untuk kawalan yang lebih stabil semasa bersenam.
CMF Clip Pro menyokong sambungan Bluetooth 5.4, ciri Low Latency Mode, penyambungan dua peranti serentak, Google Fast Pair serta integrasi aplikasi Nothing X. CMF mendakwa bateri Clip Pro mampu bertahan sehingga 10 jam penggunaan berterusan pada fon telinga dan sehingga 32.5 jam apabila digabungkan bersama bekas pengecas.
Pengecasan pantas selama 10 minit didakwa mampu memberikan masa pendengaran sehingga empat jam. CMF Clip Pro ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Dark Grey, Light Grey dan Coral. Ia dijual pada harga AS$100 (~RM409) di pasaran Amerika Syarikat manakala butiran mengenai harga dan ketersediaan di pasaran Malaysia masih belum diumumkan.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

