Site icon TechNave BM

CMF sah batalkan pelancaran CMF Phone 3 Pro akibat krisis kos RAM global

CMF, sub-jenama di bawah Nothing, dilaporkan mengambil keputusan drastik apabila memilih untuk tidak memperkenalkan telefon pintar baharu sepanjang tahun 2026. Menurut pengasas bersama Nothing, Akis Evangelidis, pasukan mereka sebenarnya sudah membangunkan model susulan kepada CMF Phone 2 Pro.

Namun, kenaikan mendadak harga memori DRAM dan storan menyebabkan mereka sukar menghasilkan naik taraf yang benar-benar berbaloi tanpa menaikkan harga jualan secara ketara. Keputusan itu dibuat bagi mengekalkan identiti CMF sebagai jenama yang menawarkan nilai terbaik dalam segmen mampu milik.

Untuk rekod, CMF Phone 2 Pro yang dilancarkan pada 2025 menerima sambutan positif kerana gabungan spesifikasi dan harga yang kompetitif. Peranti hadir dengan cip MediaTek Dimensity 7300 Pro, paparan AMOLED 120Hz, sistem kamera yang memadai serta hayat bateri yang baik pada harga sekitar RM1,000. Namun pada 2026, keadaan pasaran mula berubah.

Laporan industri menunjukkan harga memori meningkat lebih 90% pada awal tahun ini, didorong permintaan tinggi daripada sektor AI dan pusat data. Keadaan tersebut memberi tekanan kepada pengeluar telefon khususnya dalam kategori bajet dan pertengahan yang bergantung kepada margin keuntungan lebih kecil.

Evangelidis menjelaskan bahawa pihak mereka lebih rela berterus terang berbanding melancarkan produk yang tidak memenuhi standard yang mereka tetapkan. Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei, sebelum ini turut menyentuh tentang kos memori yang hampir berganda dan bagaimana ia memberi kesan kepada perancangan produk termasuk siri Phone (4a).

Disebabkan itu, semakin banyak jenama dilihat memperlahankan jadual pelancaran atau menyusun semula strategi produk mampu milik bagi mengawal harga. Namun, CMF dilaporkan masih aktif membangunkan produk baharu dan turut memberi bayangan bahawa kategori produk baharu akan diperkenalkan sebelum penghujung 2026.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: X

Exit mobile version