CMF by Nothing hari ini melancarkan jam tangan pintar terbaru untuk pasaran Malaysia iaitu CMF Watch 3 Pro. Jam ini direka khas untuk kegunaan pengguna umum serta memenuhi keperluan penggiat sukan.
Jam ini mempunyai ciri dual-band five-system GPS untuk penjejakan yang tepat sewaktu anda melakukan sukan kegemaran di mana-mana sahaja. Ia menawarkan 131 mod sukan serta panduan larian yang peribadi berdasarkan keperluan dan tahap kesihatan anda.
Ia juga mempunyai sensor degupan jantung empat saluran (four-channel heart rate sensor) yang boleh mengukur degupan jantung dengan tepat untuk semua tona kulit dan intensiti senaman. Untuk melihat rekod senaman, ia memaparkan Active Score yang menjejak rekod senaman anda pada setiap minggu.
Jam ini mempunyai rating kalis air dan debu IP68 supaya anda boleh gunakannya sewaktu bersenam dalam air atau bawah hujan.
Untuk penjejakan kesihatan, ia mempunyai sensor-sensor kesihatan seperti tahap oksigen darah (SpO₂), penjejakan stres, latihan pernafasan, penghidratan, peringatan untuk ketidakgiatan (inactivity reminders) serta kesihatan wanita.
Ia disepadukan dengan ChatGPT untuk bantu anda dapatkan maklumat, dilengkapi perakam suara dengan fungsi transkripsi automatik untuk catat sebarang idea dan menawarkan Essential News untuk berikan suapan berita terkini berdasarkan minat anda. Untuk bantu anda berkomunikasi, ia menyokong panggilan telefon melalui Bluetooth, balasan mesej cepat dengan 140 aksara dan satu mikrofon tambahan.
Skrinnya menggunakan panel AMOLED berukuran 1.43 inci serta boleh memaparkan lebih 120 jenis muka jam dan widget untuk senaman, cuaca, muzik dan peringatan. Ia boleh dihubungkan dengan aplikasi Nothing X untuk kawalan lanjut.
Baterinya boleh bertahan sehingga 13 hari, 11 hari jika anda gunakan penjejakan yang lebih berat atau 4.5 hari jika anda aktifkan Always-On Display. Sewaktu mengecas, ia memerlukan 99 minit sahja untuk pengecasan penuh.
CMF Watch 3 Pro akan dijual di Malaysia pada harga RM419 dan ia boleh dibeli dari laman web Nothing, Lazada, Shopee dan TikTok Shop. Anda juga boleh dapatinya daripada pengedar-pengedar sah seperti DirectD, TMT, Vivid Concepts, TAC Mobile, SS Solution dan Nothing Image Store.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan jam tangan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

