Site icon TechNave BM

COVID-19: Apa itu pandemik? Cukupkah dengan hanya memakai topeng penutup mulut dan hidung?

Kami percaya masih ada golongan di luar sana yang masih tidak mengambil berat terhadap penularan virus COVID-19. Mungkin tiada kemas kini sumber berita yang cukup atau masih terlalu awal untuk merasa bimbang. Sebenarnya, netizen sememangnya disarankan untuk tidak panik, tetapi harus sentiasa berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terkini, penularan virus COVID-19 telah diumumkan sebagai pandemik. Sepintas lalu, pandemik merupakan kejadian wabak besar-besaran yang merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Menurut KKM, pandemik merupakan gambaran untuk memperlihatkan tahap penularan sesuatu virus atau penyakit.

Persoalannya, adakah langkah mencegah dengan memakai topeng penutup mulut dan hidung sudah mencukupi untuk kita amalkan? Sebenarnya, anda terlebih dahulu perlu mengutamakan kebersihan seperti sentiasa membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun/hand sanitizer. Anda disarankan untuk mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Namun, jika tidak dapat mengelak, anda boleh membawa penutup mulut dan hidung, elakkan memakan sebarang produk haiwan mentah/ dimasak dengan tidak sempurna dan elakkan menyentuh sebarang jenis haiwan. Jika anda bergejala, rujuk infografik yang disediakan KKM ini.

Menurut KKM, anda mampu mencegah jika anda mengamalkan kesemua langkah ini. Sebagai langkap siap siaga berikutan pandemik ini, anda boleh sentiasa jejak perkembangan COVID-19 di sini. Bukan setakat itu, KKM juga mewujudkan perkhidmatan dalam talian untuk pemeriksaan gejala COVID-19 dan anda juga boleh menemui pelbagai maklumat sahih!

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kami turut menyarankan anda untuk membantu mencegah penularan COVID-19 ini. Kepada individu yang bergejala, tidak salah untuk anda menjadi bertanggungjawab terutama kepada diri anda sendiri dengan segera ke pusat kesihatan terdekat untuk saringan ujian COVID-19.

Penularan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan manusia, tetapi kepada perkembangan industri teknologi. Baru-baru ini sahaja sejumlah acara teknologi telah dibatalkan berikutan penularan COVID-19. Luahkan pendapat anda di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita sebegini yang terkini.

Sumber: KKM | freemalaysiatoday

Exit mobile version