Site icon TechNave BM

COVID-19 menyebabkan penjatuhan jualan telefon pintar ke tahap yang paling teruk dalam sejarah

Sebuah firma perundingan antarabangsa, Strategy Analytics, melaporkan bahawa penjualan telefon pintar sedunia jatuh sebanyak 38 peratus untuk bulan Februari 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun lepas. Ia adalah penurunan yang terburuk dalam sejarah industri telefon pintar.

99.2 juta unit telefon pintar telah dijual pada Februari 2019 manakala hanya 61.8 juta unit sahaja yang dijual pada Februari tahun ini. Disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, beberapa syarikat telefon pintar terpaksa menutup kilang-kilang mereka manakala pengguna pula enggan melawat kedai telefon atau membeli sebarang peranti elektronik.

Walaupun dengan situasi terkini di China yang semakin pulih, ini tidak bermakna industri ini boleh bangkit kembali dengan cepat kerana wabak ini masih menjejaskan negara-negara Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Asia dengan teruk. Keadaan ini akan memaksa syarikat elektronik untuk berusaha dengan lebih gigih dalam menjual produk mereka.

Adakah anda telah membeli sebarang telefon pintar atau peranti elektronik sepanjang bulan Februari lalu? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Strategy Analytics

Exit mobile version