Business Breakthrough University (BBT) di Tokyo, Jepun tekad ingin meneruskan majlis graduasi mereka walaupun sewaktu pandemik COVID-19 menjejaskan negara itu. Memandangkan para graduan tidak boleh menghadiri majlis graduasi tersebut pada 28 Mac lalu, robot bergerak telah digunakan untuk menggantikan mereka.
Robot tersebut yang digelar Newme dilengkapi sebuah tablet yang akan menyiarkan muka graduan melalui aplikasi panggilan video Zoom. Robot tersebut akan bergerak dalam dewan seperti mana graduan sebenar akan berjalan dalam majlis tersebut. Ini memberikan pengalaman graduasi secara dalam talian bagi para graduan yang layak menerima sijil mereka.
Majlis graduasi itu cuba dilaksanakan sebaik mungkin, dengan kehadiran empat pelajar dan beberapa pentadbir serta presiden universiti secara fizikal, di mana presiden tersebut turut memberikan ucapan khas. Robot tersebut turut dipakaikan jubah dan topi graduasi.
Robot tersebut direka oleh ANA Group dan bertujuan untuk memberi pengalaman berada di tempat lain, seperti muzium, sewaktu pergerakan rakyat disukarkan oleh penularan koronavirus. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menggunakan robot seperti ini untuk ‘melawat’ tempat-tempat jauh dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Business Insider

