Site icon TechNave BM

Dari padang ke PlayStation: Pemain bola sepak profesional Eropah akan berentap dalam kejohanan FIFA 20

Bagi menggantikan ketiadaan liga-liga bola sepak profesional pada tahun ini, Electronic Arts (EA) menganjurkan FIFA 20 Stay and Play Cup, di mana 20 pemain daripada 20 kelab bola sepak terunggul di Eropah akan menentang masing-masing dalam permainan video bola sepak FIFA 20.

Antara kelab yang terlibat dalam pertandingan ini adalah Chelsea, Liverpool, Dortmund, Real Madrid, AS Roma, PSV Eindhoven dan banyak lagi. Ia akan bermula pada 15 April jam 5:00 petang UK (Khamis, 16 April jam 12:00 tengah malam waktu Malaysia) dan disiarkan di saluran Twitch EA Sports FIFA.

Ini adalah sebahagian daripada usaha EA untuk mengumpul dana kepada Coronavirus Relief Fund oleh Global Giving. Baru-baru ini, liga bola sepak Sepanyol, La Liga, telah menganjurkan pertandingan FIFA 20-nya sendiri di mana ia dimenangi oleh pemain Real Madrid, Marco Asensio, dan berjaya mengumpul US$166,000 sebagai derma kepada tabung kebajikan koronavirus.

Pelbagai pertandingan sukan profesional telah beralih kepada permainan video bagi menggantikan ketiadaan penganjurannya, seperti F1. Beritahu kami di Facebook jika anda akan menonton Stay and Play Cup dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: EA.com

Exit mobile version