Site icon TechNave BM

Daripada konsol ayam KFC hinggalah arak: Senarai konsol “gaming” pelik yang dilancar pada 2020

2020 adalah tahun yang menarik buat industri permainan video, lebih-lebih lagi dengan pelancaran konsol terbaru oleh Sony dan Microsoft iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series X. Sungguh pun begitu, masih terdapat beberapa syarikat di luar sana yang berhasrat untuk masuk ke dalam industri permainan video dengan menghasilkan konsol unik mereka sendiri.

Dengan 2020 yang kian berakhir, mari kita lihat kembali senarai konsol alternatif yang telah diumumkan sepanjang tahun ini:

Bud Light BL6 – Konsol yang boleh menyejukkan minuman

Jenama minuman keras Bud Light telah mengumumkan konsol gaming terbaru bernama BL6 yang mempunyai fungsi penyejukan untuk tin minuman. Konsol tersebut mempunyai ruang untuk enam tin dan disertakan bersama enam game iaitu Tekken 7, Soulcalibur VI, R.B.I. Baseball 20, BL6 Flashlight, Broforce dan BL6 Six Puck.

BL6 juga boleh menyiarkan game seperti projektor. Secara asasnya, BL6 adalah sebuah komputer gaming Windows 10 yang dilengkapi cipset Intel i7-1065G7 dan RAM 16GB.

Capcom Retro Station – Mainkan game arked klasik di rumah

Capcom Retro Station adalah sebuah konsol bersaiz kecil yang mempunyai bentuk mirip mesin arked. Ia hanya boleh memainkan beberapa game klasik sahaja seperti Mega Man, Mega Man X, Street Fighter II dan beberapa game lain.

Konsol ini mempunyai skrin berukuran 8 inci dan berat 2.1 kg. Tentunya produk ini adalah bernilai buat penggemar game retro zaman 1990-an.

Sebuah konsol mirip Nintendo Switch namun dilengkapi papan kekunci

Sebuah syarikat China telah menghasilkan konsol mudah alih mirip Nintendo Switch, namun konsol unik ini dilengkapi papan kekunci penuh seperti yang terdapat pada komputer riba. Walaupun saiznya kecil, ia sebenarnya dilengkapi cipset Intel Core i7-1160G7, RAM 16GB serta menyokong sambungan ke TV 4K dan unit GPU luaran.

Apa yang membuatkannya nampak mirip kepada Nintendo Switch adalah sepasang butang kawalan yang berada di sisi dan boleh dicabut. Jika alat kawalan sisi itu dicabut, tentunya ia nampak lebih mirip kepada komputer riba yang bersaiz kecil.

Sega Game Gear Micro – Konsol mudah alih yang comel

Sempena ulang tahun ke-60, Sega telah melancarkan Sega Game Gear Micro iaitu sebuah konsol mudah alih yang sangat kecil. Ia terdiri daripada empat varian warna, di mana setiap varian tersebut memainkan game klasik Sega yang berlainan.

Jika skrin yang terdapat pada alat ini terlalu kecil, Sega juga menghasilkan aksesori skrin Big Window Micro untuk memudahkan permainan. Konsol ini mendapat reaksi yang suram daripada para pengguna, memandangkan skrinnya yang terlalu kecil.

KFConsole – Konsol yang boleh “menggoreng” ayam

Siapa pernah sangka yang jenama makanan segera KFC akan menceburi industri konsol gaming? Namun itulah yang telah dilakukan oleh mereka dengan pelancaran KFConsole, sebuah PC gaming berbentuk unik yang dibina bersama Cooler Master.

Perkara yang paling unik tentang KFConsole pastinya adalah kewujudan ruang khas untuk menghangatkan ayam di dalam konsol tersebut. Selain daripada itu, KFConsole dilengkapi komponen yang biasa untuk PC gaming.

Inilah dia senarai konsol aneh yang telah dilancarkan pada tahun ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version