Site icon TechNave BM

Dashcam 70mai A510 rasmi di Malaysia dengan sensor Sony STARVIS 2 IMX675, ADAS dan sokong 4G bermula RM399

70mai yang merupakan jenama tidak asing lagi dalam industri dashcam (kamera pemuka) telah melancarkan model terbaharu iaitu A510 di Malaysia Autoshow 2024. Peranti ini menggunakan sensor Sony STARVIS 2 IMX675 dengan keupayaan penglihatan malam yang sangat baik dan julat dinamik tinggi (HDR) untuk menyampaikan visual yang jelas.

Tambahan, ia dilengkapi dengan kualiti imej 1944P, kadar bingkai 60FPS, meningkatkan lagi kualiti video melalui algoritma peningkatan imej buatan 70mai dan teknologi Night OwlVision™. Menariknya, A510 juga menawarkan rangkaian ciri yang komprehensif termasuk sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS), GPS terbina dalam, pemantauan tempat letak kereta 24 jam dan kamera belakang untuk rakaman selang masa.

70mai A510 hadir dalam pilihan untuk peranti sahaja dan terdapat pakej bersama sambungan 4G bagi makluman aplikasi segera, tontonan langsung dari jauh dan kemas kini lokasi. Semasa Malaysia Autoshow 2024 yang diadakan di MAEPS Serdang dari 22 hingga 26 Mei 2024, pengguna boleh mencuba A510 di gerai 70mai di Dewan A.

Selain itu, A510 juga tersedia di kedai Shopee, Lazada dan Tiktok serta pengguna boleh menikmati diskaun pembelian awal. Beritahu pendapat anda di Facebook jika anda berminat dengan dashcam ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version