Site icon TechNave BM

Data WhatsApp 11.6 juta rakyat Malaysia dijual dalam talian adalah kes lama

Siasatan mendapati bahawa data lebih 11.6 juta pengguna WhatsApp Malaysia yang dijual dalam talian merupakan kes yang sudah berlaku sebelum ini tetapi disebarkan oleh badan yang tak bertanggungjawab. Yayasan Digital Malaysia (YDM) berkata penyelidikannya menunjukkan pangkalan data itu datang daripada kebocoran Facebook pada 2019.

Pangkalan data itu mula dijual pada 16 November dengan penjual mendakwa bahawa ia mengandungi rekod lebih 487 juta pengguna WhatsApp di 84 negara berbeza. Dengan merujuk silang data daripada penggodam dengan kebocoran Facebook 2019 sebelum ini, YDM mendapati data tersebut adalah sama.

Walaupun data asal daripada kebocoran 2019 termasuk butiran seperti nama paparan Facebook, nombor telefon, jantina, negara dan pekerjaan, versi daripada pemuat naik ini hanya mengandungi nombor telefon. Penjual berkata harga bagi dataset Malaysia ialah AS$2,500 (RM11,200).

Meta, syarikat pemilik WhatsApp berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka tidak menemui sebarang tanda kebocoran data dalam platform WhatsApp. Tambahnya lagi, laporan yang dibuat oleh Cybernews merupakan asas kepada kebanyakan laporan berita tersebar adalah spekulatif dan berdasarkan tangkapan skrin tidak berasas.

Meta didenda €265 juta (RM1.22 bilion) kerana gagal menghalang insiden kebocoran data Facebook 2019 di mana data untuk insiden terbaru ini berasal. Ini bukan kali pertama data ini muncul semula kerana ia telah tersedia di forum penggodam tahun lepas secara percuma.

Meta membalas dakwaan kebocoran itu dengan memberitahu Reuters bahawa data itu sudah lama dan masalah itu telah ditemui serta diperbaiki pada 2019. Data itu pada asalnya diambil melalui carian Facebook, pengimport kenalan Facebook Messenger dan alat pengimport kenalan Instagram.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Exit mobile version