Site icon TechNave BM

Data WhatsApp tertiris, 11 juta nombor telefon Malaysia didakwa dijual dalam talian

Beberapa sumber melaporkan bahawa terdapat iklan di forum komuniti penggodaman terkenal yang didakwa menjual pangkalan data 2022 dengan 487 juta nombor telefon pengguna WhatsApp. Daripada jumlah itu, 11 juta adalah nombor telefon dari Malaysia.

Menurut sumber, negara yang mempunyai jumlah akaun yang paling banyak digodam ialah Mesir dengan 44,823,547, Itali dengan 35,677,323 dan AS dengan 32,315,282. Malaysia menduduki tempat ke-12 tertinggi dengan 11,675,894 pengguna.

Maklumat itu boleh digunakan oleh penipu (scammer) untuk serangan pancingan data. Atas permintaan, penjual pangkalan data WhatsApp berkongsi sampel data dengan penyelidik Cybernews. Sebagai sampel, penjual berkongsi 1097 nombor dari UK dan 817 nombor dari AS. Nombor telefon sampel tersebut disahkan pengguna WhatsApp.

Penggodam tersebut bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana mereka memperoleh pangkalan data. Cybernews menghubungi syarikat induk WhatsApp, Meta, tetapi tidak menerima respons segera. Namun buat masa ini, anda disyorkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan dan mesej daripada nombor tidak dikenali.

Jangan klik atau buka sebarang pautan yang mencurigakan dan membuat pengesahan dua langkah untuk terus melindungi akaun WhatsApp anda jika anda belum berbuat demikian. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: Malay Mail

Exit mobile version