Terkini, sumber melaporkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian untuk menentukan sama ada penggunaan skuter elektrik bakal dibenar beroperasi atau tidak.
Kajian ini dijalankan melalui pengumpulan data dari pelbagai agensi kerajaan sebelum keputusan penggunaan skuter elektrik di ibu kota dimaklumkan kelak. Menurut pihak DBKL, keputusan mungkin bakal diumum pada pertengahan bulan ini.
Terdahulu, pihak PDRM telah mengeluarkan arahan larangan terhadap penunggang skuter elektrik di jalan raya bermula pada 1 Januari 2021. Penunggang akan didenda RM300 (sehingga RM1000 untuk kesalahan ulangan) atau dipenjara sehingga 3 bulan. Namun, anda masih boleh menunggang di kawasan yang dibenarkan atau memohon lesen khas melalui JPJ.
Beberapa syarikat telah memohon lesen melalui DBKL untuk kebenaran penggunaan skuter elektrik di kawasan dan zon tertentu. Perkara ini mendorong DBKL untuk menjalankan kajian sebelum membuat keputusan.
Menurut DBKL, kajian perlu dijalankan untuk mengelakkan kesilapan seperti oBike yang dahulu terbiar di bahu jalan ibu kota. DBKL akan memaklumkan keputusannya kelak sama ada untuk membenarkan penggunaan atau tidak.
Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Star

