Site icon TechNave BM

Dell 24 Touch USB-C Hub Monitor dilancar di Malaysia: Monitor sentuh pelbagai fungsi berharga RM1,959

Dell Malaysia telah melancarkan monitornya yang terbaru iaitu Dell 24 Touch USB-C Hub Monitor (P2424HT) yang direka untuk kegunaan dalam pejabat, perniagaan atau rumah.

Monitor ini menyokong penggunaan sentuh sehingga 10 titik serentak dan pengguna boleh menggunakannya seperti tablet, di mana anda boleh menulis, zum dan berinteraksi dengan skrin ini menggunakan jari sahaja.

Ia mempunyai resolusi Full HD (1920×1080) dengan gamut warna sRGB 99% untuk penghasilan warna yang tepat. Untuk menjaga keselesaan mata, ia mempunyai ComfortView Plus yang mengurangkan pancaran cahaya biru tanpa menjejaskan warna imej.

Ia juga mempunyai tongkat yang fleksibel serta mudah diputar dan dipusing sehingga 60 darjah untuk kegunaan di mana-mana sahaja dengan selesa. Kedudukan monitor juga boleh dinaikkan sehingga 110mm daripada dasar.

Untuk port, ia menyediakan HDMI, DisplayPort 1.2, USB-C 3.2 Gen 1 (upstream), USB-C 3.2 Gen 1 (downstream), tiga USB-A 3.2 Gen 1, bicu audio 3.5mm dan ethernet RJ45.

Selain itu, ia juga mempunyai sebuah pembesar suara mono 3W yang dihalakan ke atas. Monitor ini akan dijual dalam pasaran Malaysia pada harga RM1,959.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version