Site icon TechNave BM

Dell umumkan XPS 13 Plus dengan cipset Intel Core Gen-12 dan monitor UltraSharp 32″ 4K

Kini giliran Dell untuk mengumumkan produk mereka di CES 2022. Jenama itu telah mengumumkan komputer riba XPS baharu yang kelihatan cantik dan monitor persidangan video 4K.

Bermula daripada XPS 13 Plus, ia menggabungkan reka bentuk yang cantik dan teknologi berkuasa. Komputer riba ini menampilkan papan kekunci anggun baharu, bar kawalan sentuh, pad sentuh dan reka bentuk bahagian bawah yang minimalis dan moden.

Kekunci media tidak lagi dipasang pada papan kekunci kerana ia kini diletakkan pada bar kawalan sentuh kapasitif. Tambahan pula, pad jejak tradisional juga telah digantikan dengan pad sentuh kaca yang mana ia lebih lancar dan memberikan tindak balas haptik kepada sentuhan.

Daripada segi spesifikasi teknikal, Dell XPS 13 Plus menampilkan cipset Intel Core 28W Generasi ke-12, paparan OLED dengan resolusi 4K+ dan Express Charge 2.0 yang mampu mengecas sehingga 80% bateri dengan hanya kurang dari satu jam.

Ia juga didatangkan dengan sistem empat pembesar suara yang dipertingkatkan dengan dua pembesar suara tersembunyi di bawah papan kekunci dan dua pembesar suara lagi berada pada bahagian bawah. Ia tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Platinum dan Grafit.

Seterusnya, kami mempunyai Monitor Persidangan Video Dell UltraSharp 32 4K. Ia memuatkan teknologi IPS Black dan VESA DisplayHDR 400 yang membolehkan anda melihat kandungan dengan lebih terperinci menerusi resolusi 4K.

Ia juga mempunyai UltraSharp Webcam, mikrofon dwi-array pembatalan gema dan pembesar suara 14W untuk memberikan kerjasama terbaik dan pengalaman visual yang mungkin. Akhir sekali, ia membawakan reka bentuk yang canggih dengan kemasan perak platinum yang melengkapkan kedua-dua ruang rumah dan pejabat.

Jika anda berminat, kedua-dua produk dijangka akan mula diperkenalkan pada Mac 2022 di Malaysia. Apakah pendapat anda tentang produk Dell baharu ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version