DENZA B8 secara rasmi telah diperkenalkan untuk pasaran Malaysia yang menandakan kemasukan jenama itu ke dalam segmen SUV off-road eletrik mewah. Ia juga merupakan SUV plug-in hybrid pertama DENZA yang bakal ditawarkan di negara ini. DENZA B8 dibangunkan berasaskan tiga komponen utama yang menjadi tunjang kepada keseluruhan pengalaman pemanduan iaitu platform, sistem suspensi pintar dan kabin premium.
DENZA B8 menggunakan gabungan enjin turbo 2.0 liter bersama dua motor elektrik dan teknologi Blade Battery milik BYD. Sistem DMO ini dibangunkan khusus untuk menawarkan kemampuan off-road sebenar tanpa mengorbankan kecekapan bahan api dan keselesaan pemanduan harian. Secara keseluruhan, sistem menghasilkan kuasa sehingga 450 kW dan tork 760 Nm.
SUV ini juga menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 115 km dan jarak gabungan sehingga 1,040 km berdasarkan kitaran NEDC. Pengguna boleh memanfaatkan beberapa mod pemanduan termasuk Pure EV, HEV Series dan Parallel Mode yang berfungsi secara automatik mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Selain sistem trenkuasa, DENZA B8 juga dilengkapi sistem suspensi DiSus-P yang mampu melaras karakter suspensi dan pergerakan badan secara aktif dalam masa nyata. Ia direka untuk memberikan kestabilan lebih baik ketika membelok, jalan tidak rata atau ketika pemanduan dalam keadaan mencabar. Untuk reka bentuk, DENZA B8 tampil dengan identiti yang diinspirasikan daripada konsep “Starship Mecha”.
Ia dipadankan dengan lampu siang LED “Starship Wing” dan rekaan lampu belakang “Energy Thruster” yang memberikan imej futuristik serta lebih agresif. Bahagian dalaman pula memberi fokus kepada kemewahan dan pengalaman pengguna yang lebih menyeluruh. Antara ciri yang ditawarkan termasuk kemasan kulit Nappa untuk varian Premium serta sistem audio premium dengan 18 pembesar suara yang didatangkan standard untuk semua varian.
DENZA B8 bakal dipamerkan buat pertama kali dalam acara pratonton yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei 2026 di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. Pendaftaran awal untuk model ini juga telah dibuka menerusi laman rasmi DENZA Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

