Site icon TechNave BM

Digi dan CREST menguji ambulans berkeupayaan 5G yang pertama di Langkawi

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah mengumumkan kerjasama yang dijalin olehnya dengan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi serta Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) untuk menguji ambulans berkeupayaan 5G yang pertama di Malaysia bagi membekalkan kebolehan pemindahan data perubatan dalam masa nyata di antara pihak paramedik dan hospital.

Penyaluran data pesakit secara berterusan bermula dari detik ketibaan paramedik di tempat kejadian, sehingga ke fasa penghantaran pesakit ke hospital. Untuk mendemonstrasikan kes kegunaannya di Hospital Sultanah Maliha Langkawi, pasukan paramedik telah melalukan simulasi secara langsung yang menunjukkan bagaimana tanda vital seperti bacaan ECG dan imbasan ultrabunyi diambil ketika dalam perjalanan ke hospital menerusi ambulans yang mengguna pakai teknologi 5G yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengarah Hospital Sultanah Maliha, Dr. Mansor Ismail sementara itu berkata, “Menerusi teknologi ini, para doktor kami dapat mengecapi tahap ketepatan yang lebih tinggi dalam bab pendiagnosan pesakit mereka, dan ia menjadi lebih mustahak dalam keadaan kecemasan di mana masa menjadi keutamaan.”

Buat masa ini, Digi mempunyai dua tapak ujian 5G di pulau berkenaan – iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha. Stesen pangkalan mudah alih 5G yang terletak di premis hospital berkenaan beroperasi pada spektrum 3.4-3.5GHz (C-band) dengan jalur lebar 100MHz, berserta kelajuan mencecah 1.2Gbps.

Kongsikan pendapat anda di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version