Site icon TechNave BM

Digi dan Gibraltar BSN tawarkan pelan insurans COVID-19, 200k pelanggan pertama akan dilindungi secara percuma

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) hari ini menawarkan sebuah produk insuran yang direka khas bagi melindungi pelanggannya dalam situasi penularan wabak COVID-19 sekarang. Insuran tersebut yang dinamakan Covid Cover menawarkan perlindungan menyeluruh jangka pendek bagi pelanggan yang perlu dihospitalkan atau memerlukan rawatan ketika krisis COVID-19 berlangsung.

Dengan kerjasama Gibraltar BSN, Digi akan memberi perlindungan secara percuma kepada 200,000 pelanggan pertama yang berdaftar di bawah insuran ini sebelum 30 April. Covid Cover memberi perlindungan selama 30 hari selepas permohonan mereka diluluskan, di mana pelanggan mendapat perlindungan berupa manfaat Tunai Hospital berjumlah RM60 bagi hospitalisasi akibat COVID-19 dan manfaat kematian berjumlah RM20,000.

Jika anda terlepas daripada mendaftar Covid Cover ini, anda boleh memilih mana-mana pakej insurans mampu milik yang lain dengan harga serendah RM5 hingga RM20. Pelanggan boleh membayar premium bulanan melalui bil telefon bagi pelanggan pascabayar atau ditolak daripada kredit bagi pelanggan prabayar.

Pelan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk yang tidak melanggan mana-mana produk Digi. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, layari laman web ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mendapatkan pelan Covid Cover dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version