Seperti yang dijangka, pada hari ini Digi Telecommunications Sdn Bhd telah memeterai sebuah Persetujuan Akses (Access Agreement) dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk mendapatkan akses kepada rangkaian 5G borong tunggal (single wholesale network, SWN).
Persetujuan ini akan membenarkan Digi untuk menyediakan rangkaian 5G kepada para pelanggannya. Ini adalah berita terbaru berkenaan pelaksanaan 5G oleh Digi, selepas ia bersetuju untuk memegang ekuiti saham sebanyak 12.5% dalam DNB.
Daripada persetujuan ini, Digi akan menggunakan rangkaian 5G DNB selama 10 tahun dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyediakan rangkaian 5G yang boleh dipercayai dengan harga berpatutan.
Sementara itu, Digi akan terus melabur dan mengoperasi rangkaian terasnya sendiri, termasuk rangkaian 4G+ dan pangkalan data. Dengan model SWN, Digi meramalkan bahawa model tersebut akan menggantikan model rangkaian tradisional yang dimiliki dan diuruskan oleh syarikat telekomunikasi sebelum ini.
Maklumat tentang pakej 5G untuk para pelanggan akan diumumkan dalam masa terdekat. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

