Site icon TechNave BM

Diskaun tol 50% sempena Tahun Baharu Cina 2025

Sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025, kerajaan Malaysia mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% untuk semua kenderaan kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari 2025. Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi seperti yang dilaporkan oleh Bernama melalui hantaran di media sosial.

Diskaun tol ini akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, Isnin, 27 Januari dan berakhir pada jam 11.59 malam, Selasa, 28 Januari 2025. Langkah ini melibatkan peruntukan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang dianggarkan sebanyak RM20.08 juta.

Menurut Datuk Seri Alexander, keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dan akan dilaksanakan di semua plaza tol kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Beliau menegaskan bahawa diskaun tol ini sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan dan perpaduan rakyat. Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang telah dilaksanakan untuk empat perayaan utama di Semenanjung sejak 2023.

Sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan Bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari tahun 2023 hingga 2024. Pengguna lebuh raya digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version