Site icon TechNave BM

Disney+ Hotstar akan dilancar di Malaysia pada 1 Jun, langganan bermula RM54 untuk tiga bulan

Para peminat Disney di Malaysia kini boleh melanggan kepada perkhidmatan pelayaran filem Disney+ Hotstar bermula 1 Jun 2021. Perkhidmatan tersebut bakal menyediakan filem dan siri televisyen eksklusif daripada Disney, termasuklah filem Marvel, Star Wars, National Geographic dan banyak lagi.

Pelanggan Disney+ Hotstar boleh membeli pakej langganan bermula RM54.90 untuk langganan selama tiga bulan atau melalui pakej khas bersama Astro untuk mendapatkan akses kepada koleksi kandungan yang lebih luas.

Ini termasuklah siri Disney+ Originals yang mendapat sambutan hangat di luar negara seperti The Mandalorian, WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan banyak lagi. Peminat filem Disney seperti Avengers, The Lion King, Frozen dan Aladdin juga boleh menonton semula filem kegemaran mereka dalam Disney+, di samping siri televisyen yang bukan dihasilkan oleh Disney seperti The Walking Dead dan Grey’s Anatomy.

Buat para peminat filem tempatan, Disney+ Hotstar juga bakal menjadi penyiar eksklusif untuk beberapa filem seperti J2: J Retribusi, Zombitopia dan Ejen Ali The Movie 2. Peminat drama televisyen TV3 seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr. Bodyguard juga akan mendapat akses awal sebelum ia ditayangkan dalam platform lain.

Penonton juga masih boleh menonton filem tempatan popular seperti Upin & Ipin, KL Special Force, J Revolusi, Munafik dan banyak lagi.

Layari laman web Disney+ Hotstar Malaysia untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook apakah yang anda akan tonton dalam platform tersebut dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version