Site icon TechNave BM

DJI Mavic 3 Classic dilancar di Malaysia: Dron dengan kamera Hasselblad bermula RM6,459

DJI telah melancarkan dron terbaru untuk pasaran Malaysia iaitu DJI Mavic 3 Classic yang menampilkan kamera Hasselblad untuk kebolehan videografi yang tinggi. Dron ini ditujukan buat mereka yang inginkan kamera berkualiti tinggi pada dron, namun masih dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding dron premium.

Mavic 3 Classic masih mempunyai fungsi yang sama dengan dron lain dalam siri Mavic 3 Series, seperti kamera 20MP dengan sensor CMOS 4/3″, tempoh penerbangan selama 46 minit dan sistem transmisi video O3+. Perbezaan yang terdapat pada Mavic 3 Classic adalah ketiadaan lensa telefoto pada kameranya.

Kamera Mavic 3 Classic boleh merekod video dalam resolusi sehingga 5.1K pada kadar 50 bingkai sesaat (fps) menggunakan encoder H.264 dan H.265. Untuk rakaman gerak perlahan pula, ia boleh merekod sehingga 200 bingkai sesaat dalam resolusi 1080p.

Lensanya mempunyai jarak fokal 24mm dengan nilai apertur f/2.8 hingga f/11 dan 12.8 hentian untuk jurang dinamik. Kamera ini turut menyokong fotografi RAW 12-bit, rakaman video dalam D-Log 10-bit dan mempunyai teknologi Hasselblad Natural Colour Solution untuk warna yang lebih tepat.

Daripada segi penerbangan pula, ia boleh diterbangkan sejauh 15 kilometer selama 46 minit. Ia turut mempunyai fungsi ActiveTrack 5.0 yang boleh menjejak subjek dengan tepat sewaktu penerbangan.

Ia turut mempunyai fungsi Cruise Control bagi menetapkan kelajuan yang sekata untuk mengurangkan sebarang getaran pada rakaman video. Kameranya menawarkan fungsi QuickShots, timelapse, hyperlapse dan panorama.

DJI Mavic 3 Classic boleh dibeli di Shopee dan Lazada pada harga bermula RM6,459 untuk pakej asas. Layari laman web DJI untuk maklumat lanjut mengenai dron ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version