Site icon TechNave BM

DJI Mavic 3 Pro dilancar di Malaysia: Dron dengan 3 kamera Hasselblad bermula RM9,799

Pada hari ini, DJI Malaysia telah melancarkan dron terbaru untuk kerja-kerja kreatif iaitu DJI Mavic 3 Pro. Dron ini dilengkapi tiga kamera, di mana salah satunya mempunyai teknologi Hasselblad untuk kualiti rakaman yang lebih sinematik.

Tiga kamera pada dron ini mempunyai jarak fokal yang berlainan iaitu 24mm, 70mm dan 166mm untuk membenarkan pengguna merakam pelbagai jenis video mengikut visi mereka dalam sudut lebar, medium tele atau telefoto. Pengguna boleh merakam video pada resolusi 5.1K 50fps atau DCI 4K 120fps.

Kamera Hasselblad pada dron ini mempunyai sensor 4/3 CMOS yang boleh mengambil gambar RAW 12-bit dengan julat dinamik sehingga 12.8 hentian, serta dilengkapi Hasselblad Natural Colour Solution (HNCS) untuk menghasilkan warna yang sama dengan penglihatan mata.

Ia boleh merakam video dalam mod warna 10-bit D-Log M yang menyokong sehingga satu bilion warna dan memudahkan proses pasca-penerbitan tanpa menjejaskan kualiti video. Untuk para pengguna yang lebih profesional, dron ini turut menyokong pengekodan Apple ProRes 422 HQ, Apple ProRes 422 dan Apple ProRes 422 LT.

Dron ini mempunyai storan dalaman SSD 1TB dan boleh dihubungkan dengan kabel data lightspeed 10Gbps untuk mempercepatkan pemindahan data.

Sementara itu, kamera 70mm mempunyai sensor CMOS 1/1.3″ dengan zum optikal 3x dan boleh merakam video 4K 60fps dalam mod warna D-log M dan mengambil gambar 48MP/12MP. Kamera 166mm pula boleh membuat zum optikal sehingga 7x dan zum hibrid sehingga 28x untuk mengambil gambar 12MP.

Ia turut menyokong pelbagai fungsi yang terdapat pada dron DJI sebelum ini, seperti FocusTrack, MasterShots, QuickShots dan Panorama.

Selain itu, ia mempunyai tempoh penerbangan selama 43 minit. Untuk keselamatan, ia turut dilengkapi lapan sensor Omnidirectional Sensing dan APAS 5.0 untuk mengesan sebarang objek yang boleh menghalang penerbangan dron.

Pengguna boleh melihat paparan kamera dengan sistem penghantaran DJI O3+ yang boleh menghantar suapan langsung HD dalam resolusi 1080p/60fps pada jarak sehingga 15km.

Berikut adalah senarai harga untuk DJI Mavic 3 Pro di Malaysia:

Pra-tempahan akan dibuka bermula hari ini sehingga 8 Mei 2023 di kedai DJI Flagship Store, laman rasmi DJI Malaysia dalam Shopee dan Lazada serta pengedar sah DJI Official Authorised Retail Store.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version