DJI, jenama yang terkenal dengan produk drone dan kamera aksi, kini menawarkan mikrofon tanpa wayar melalui produk terbaru mereka, DJI Mic Mini yang telah tersedia dalam pasaran tempatan. DJI Mic Mini adalah sistem mikrofon yang terdiri daripada satu penerima (receiver) dan dua pemancar (transmitter).
Produk ini berfungsi dengan cara yang sama seperti mikrofon tanpa wayar lain tetapi ia dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan yang menarik. Salah satu ciri utama adalah pencegahan kliping automatik yang secara automatik menurunkan volume apabila audio yang diterima terlalu kuat sebanyak 6 dB bagi memastikan kualiti rakaman tetap jelas tanpa gangguan.
Selain itu, DJI Mic Mini mempunyai teknologi anti-gangguan yang memastikan penghantaran audio stabil walaupun dalam persekitaran yang penuh dengan peralatan elektronik. Sistem ini boleh berfungsi sehingga jarak 400 meter. Peranti penerima pula mempunyai kawalan untuk menyesuaikan audio diterima dalam lima tahap.
Bateri pemancar boleh bertahan selama 11.5 jam atau 10.5 jam jika fungsi pembatalan hingar diaktifkan. Lebih menarik, bekas pengecas menyediakan 48 jam penggunaan tambahan. DJI Mic Mini tersedia dengan harga RM339 untuk pakej satu penerima dan satu pemancar.
Pakej standard DJI Mic Mini berharga RM699 tetapi anda juga boleh mendapatkan kit asas/barebones pada harga RM339. Untuk butiran lanjut, anda juga boleh menyemak laman rasmi DJI Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan DJI Mic Mini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

