DJI telah melancarkan gimbal terbaru untuk telefon pintar, DJI Osmo Mobile 4 atau DJI OM 4, yang menampilkan rekaan baru daripada gimbal sebelumnya. Telefon kini boleh dilekatkan secara magnetik dan bukan pemegang seperti yang terdapat dalam DJI OM 3.
DJI OM 4 masih mengekalkan reka bentuk mudah alih dan senang dilipat agar ia mudah dibawa untuk rakaman video. Untuk memasangnya bersama telefon, gimbal ini mempunyai pemegang (clamp) magnetik yang boleh dicabut untuk dipasang bersama telefon yang kemudian boleh disambung ke gimbal tersebut. Tarikan magnetnya adalah sangat kuat dan magnet tersebut boleh berputar sewaktu rakaman.
Gimbal ini mempunyai penstabilan 3 paksi dan fungsi Hyperlapse, kawalan gerakan tangan Gesture Control, DynamicZoom, Panorama 240 darjah, penjejakan ActiveTrack 3.0, Story Mode serta banyak lagi. Terdapat juga aplikasi DJI Mimo untuk membantu pengguna menyunting rakaman video.
DJI OM 4 akan dijual di Amerika Syarikat pada harga USD149 (~RM621). Masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia namun harganya dijangka akan berada pada jurang tersebut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki gimbal ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

