DJI baru-baru ini mengumumkan pelancaran rasmi Osmo 360 di Malaysia yang merupakan kamera aksi pertama DJI dalam segmen rakaman 360 darjah. Menyasarkan pasaran premium, peranti baharu ini menampilkan pelbagai teknologi canggih termasuk kebolehan rakaman 8K, sensor HDR berbentuk unik dan binaan tahan lasak dengan penarafan IP68.
Ia hadir dengan berat hanya 183 gram dan boleh digunakan di bawah air sehingga 10 meter tanpa memerlukan sarung pelindung tambahan selagi penutup bateri dan port ditutup rapat. DJI memperkenalkan sensor HDR berbentuk segi empat sama yang menawarkan 25% lebih kawasan sensor boleh guna semasa rakaman 360 darjah.
Sensor ini digandingkan dengan lensa f/1.9 dan piksel sebesar 2.4μm membolehkan prestasi hebat dalam cahaya malap, butiran imej yang lebih tajam serta julat dinamik sehingga 13.5 hentian. Kamera ini juga menggunakan sensor Type 1/1.1 inci CMOS, menyokong rakaman gambar panorama sehingga 120MP atau 30.7MP dalam mod lensa tunggal.
Ia merupakan kamera 360 darjah pertama di dunia yang mampu merakam video 8K pada 50fps selain menawarkan rakaman 8K pada 30fps selama 100 minit berterusan. Selain fungsi 360 darjah, Osmo 360 turut berfungsi sebagai kamera aksi biasa. Pengguna boleh bertukar antara lensa hadapan dan belakang tanpa menghentikan rakaman.
Dalam mod satu lensa, kamera ini menyokong rakaman 5K pada 60fps atau 4K pada 120fps dengan sudut pandang luas. Antara ciri menarik lain yang disertakan ialah tongkat swafoto halimunan, penstabilan ufuk automatik, kawalan intuitif melalui isyarat tangan dan arahan suara, penjejakan fokus pintar serta kemampuan merakam video berkelajuan tinggi pada resolusi 4K pada 120fps.
Untuk penyuntingan, Osmo 360 menyokong fotografi 360 darjah dengan bantuan aplikasi mudah alih DJI serta plugin khas untuk Adobe Premiere. Untuk bateri, kamera ini boleh merakam video 8K30p selama 100 minit dan boleh dipanjangkan sehingga 180 minit dengan Battery Extension Rod yang dijual berasingan.
DJI juga menyatakan bahawa peranti ini menyokong pengecasan pantas dengan prestas mencapai 50% dalam hanya 12 minit. DJI Osmo 360 kini boleh dibeli melalui kedai rasmi DJI di Shopee dengan dua pilihan pakej:
- Standard Combo – RM1,879
Termasuk beg pelindung, kabel USB-C, pelindung lensa dan bateri. - Adventure Combo – RM2,369
Tambahan termasuk tongkat swafoto halimunan, penyesuai pelepas pantas, bekas bateri pelbagai fungsi dan dua bateri tambahan.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

