DJI dilapor bakal memperkenalkan generasi baharu kamera aksi Osmo Action 6 sekitar pertengahan Oktober ini dengan beberapa penambahbaikan besar berbanding model terdahulu. Antara peningkatan utama ialah penggunaan sensor CMOS 1 inci, naik taraf daripada sensor 1/1.3 inci yang digunakan pada Osmo Action 5 Pro.
Sensor lebih besar ini dijangka meningkatkan prestasi dalam keadaan cahaya malap dan menghasilkan butiran gambar lebih tajam. Dalam aspek rakaman, Action 6 dikatakan menyokong video sehingga 8K pada 30fps selain 5.3K pada 60fps, 4K pada 120fps dan rakaman gerak perlahan 1080p pada 240fps.
Profil warna 10-bit D-Log M turut disertakan bersama sistem penstabilan RockSteady versi baharu yang dipertingkat dengan kecerdasan buatan. Salah satu ciri menarik yang dilaporkan ialah sokongan integrasi jam pintar. Melalui sambungan Bluetooth 5.1, Osmo Action 6 boleh dipadankan dengan peranti seperti Apple Watch atau Garmin.
Pengguna dikatakan boleh mengawal rakaman secara terus dari jam tangan, menukar mod dan menambah data masa nyata seperti kadar denyutan jantung, GPS serta altitud ke dalam video. Osmo Action 6 dilaporkan hadir dengan storan dalaman sekitar 47 hingga 64GB bersama sokongan kad microSD.
Ia turut menawarkan sambungan WiFi 6 dan port USB-C yang berkemungkinan menyokong output DisplayPort. Baterinya pula berkapasiti sekitar 1,950mAh yang mampu menyokong rakaman 4K melebihi empat jam. Selain itu, ia dikatakan boleh digunakan terus di dalam air sehingga kedalaman 20 meter tanpa memerlukan bekas pelindung khas.
Sekiranya maklumat ini tepat, Osmo Action 6 bakal menjadi pesaing utama dalam segmen kamera aksi dengan kombinasi rakaman resolusi tinggi, sensor besar, integrasi jam pintar dan ketahanan fizikal yang dipertingkat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan ciri baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: thenewcamera

