Site icon TechNave BM

DNB beri kenyataan sebab Samsung dikeluarkan, purata kelajuan 5G akan stabil pada 100Mbps

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan jenama Samsung telah dikeluarkan daripada senarai peranti yang menyokong rangkaian 5G. Kini, Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengeluarkan kenyataan rasmi menjawab persoalan sebab-sebab jenama tersebut dikeluarkan.

Pada awal pengenalan rangkaian 5G pada 15 Disember 2021, beberapa peranti 5G dikaitkan dengan isu panggilan suara VoLTE bagi beberapa jenama. Menurut DNB, syarikat pengeluar peranti berusaha untuk membangunkan kemaskini perisian yang mungkin tersedia pada akhir suku pertama tahun ini.

DNB turut menasihati syarikat yang tidak mengesahkan atau meluluskan peranti 5G disarankan melakukan ujian statik awal untuk mengemas kini perisian agar serasi dengan rangkaian 5G. Kemudahan ujian untuk pengilang akan disediakan oleh DNB atas bimbingan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu, dalam artikel yang sama, purata kelajuan yang menurun kepada 583.27Mbps adalah disebabkan trafik pada rangkaian yang meningkat dari semasa ke semasa. Peningkatan ini menyebabkan kelajuan muat turun semakin berkurangan, namun DNB mengatakan ia akan kembali stabil ke 100Mbps seperti yang dijanjikan.

Buat masa ini, kami dapati hanya YES sahaja yang menawarkan sokongan rangkaian 5G dan akan diikuti oleh Telekom Malaysia™ tidak lama lagi. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version