Sebelum ini, kami melaporkan kenyataan Digital Nasional Bhd (DNB) bahawa liputan rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai hampir 50 peratus kawasan berpenduduk pada 2022 dan ia berada di landasan untuk mencapai liputan sehingga 80 peratus pada 2024.
Walau bagaimanapun, DNB perlu menjelaskan kesahihan angka tersebut kerana tiada pendedahan data atau sumber kerana Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini mempersoalkan maklumat tersebut. Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga masih belum mengesahkan maklumat itu.
Menurut sumber, Menteri KKD, Fahmi Fadzil meminta DNB menjelaskan bagaimana ia membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan liputan rangkaian 5G di negara kita telah mencapai angka 50 peratus seperti yang didakwa.
Beliau menjelaskan bahawa SKMM belum lagi mengesahkan maklumat tersebut dan menasihatkan DNB supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum pengesahan dibuat. Fahmi membuat kenyataan itu sebagai respons kepada tweet yang mendakwa angka 50% oleh DNB itu adalah palsu.
Dalam kenyataan pada Isnin lalu, ketua pegawai operasi DNB, Nasution Mohamed mendakwa liputan rangkaian 5G di Malaysia telah tersedia kepada 15 juta rakyat Malaysia membabitkan 3,900 tapak dan akan mencapai lebih 30 juta orang.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

