Site icon TechNave BM

Dr Noor Hisham: Jangan beli air zam zam dari mana-mana platform dalam talian

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihati rakyat Malaysia supaya tidak membeli air zam zam daripada mana-mana kedai atau platform dalam talian pada musim haji ini. Ini adalah kerana air yang dijual itu besar kemungkinan merupakan air zam zam palsu.

Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada pengedar atau syarikat dalam Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Dr Noor Hisham berkata kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan air zam zam untuk dieksport atau diperdagangkan. Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub bawah peraturan 360A, Peraturan-peraturan Makanan 1985 di mana ia memerlukan lesen punca air KKM dan dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Sebanyak 32 iklan air zam zam telah dipadamkan daripada platform e-dagang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Di media sosial pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam telah dipadam daripada platform sedemikian.

Sejak 2012, nilai rampasan ke atas air zam zam berjumlah RM83,618.20. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan penjualan air zam zam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di laman web ini atau Facebook BKKM.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version