Maktabah Al-Bakri kini memperkenalkan dua watak digital baharu yang berperanan sebagai Pegawai Pintar Syariah (PPS) iaitu AIDr. Munir dan AIDr. Munirah, dalam usaha memperkasa penyampaian maklumat hukum semasa melalui pendekatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menurut pengasasnya, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kedua-dua watak ini dibangunkan melalui kerjasama antara ChatGPT Plus oleh OpenAI dan Hedra Studio sebagai pembangun persona tersuai. Katanya, elemen tempatan dan kepatuhan kepada prinsip syariah turut diberi keutamaan dalam pembangunan sistem ini.
AIDr. Munir dan AIDr. Munirah berperanan merumuskan jawapan bagi lebih 9,000 persoalan berkaitan hukum semasa, fatwa kontemporari dan fiqh masyarakat yang terdapat dalam pangkalan data aplikasi Al-Inarah. Jawapan yang diberikan oleh kedua-dua PPS adalah berdasarkan pendirian beliau dalam isu-isu berkaitan hal ehwal agama, selain telah diprogramkan agar sesuai dengan penggunaan media sosial dan gaya komunikasi masa kini.
Ini merupakan langkah permulaan dan lebih banyak kejutan akan menyusul dengan episod pertama menampilkan AIDr. Munirah dengan topik perbincangan: “Hukum Isteri Mengidam Makan Pelik-Pelik: Suami Wajib Tunaikan?” dalam platform TikTok.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

