Site icon TechNave BM

Dreame kejutkan dunia, umum rancang bina “hypercar” elektrik lawan Bugatti

Dreame Technology, jenama China yang selama ini dikenali dengan pencuci vakum robotik dan alatan rumah pintar mengejutkan dunia automotif apabila mengumumkan rancangan untuk menghasilkan kereta elektrik mewah pertama mereka. Langkah berani ini dilihat sebagai usaha mencabar pengeluar kereta super terkemuka dunia termasuk Bugatti.

Model sulung Dreame dijadualkan muncul pada tahun 2027 dan bakal menjadi sebuah hypercar elektrik ultra-mewah dengan kelajuan serta prestasi yang digembar-gemburkan mampu menandingi Bugatti Veyron. Syarikat itu kini mempunyai hampir 1,000 kakitangan khusus dalam projek automotif dan masih menambah tenaga kerja bagi mempercepatkan pembangunan.

Menariknya, Dreame bukan sekadar mahu menghasilkan kereta laju, tetapi juga sebuah kenderaan pintar dengan integrasi penuh ke dalam ekosistem gaya hidup moden. Hypercar tersebut dikatakan akan menyokong kecerdasan buatan yang mampu belajar tabiat pemandu, kawalan suara interaktif, serta sambungan terus ke peranti pintar dan sistem rumah pintar pengguna.

Menurut laporan media automotif antarabangsa, Dreame akan memanfaatkan kepakaran mereka dalam teknologi motor digital berkelajuan tinggi 200,000 rpm yang sebelum ini digunakan dalam produk vakum utama syarikat kepada sistem kuasa kereta elektrik mereka.

Walaupun Dreame dikenali sebagai pemain baharu dalam dunia automotif, syarikat sebenarnya sudah merancang untuk terjun ke bidang ini sejak 2013. Pengumuman rasmi pada 2025 hanya mengesahkan hasrat yang telah lama dipendam dan memberi isyarat bahawa persaingan dalam arena kereta elektrik mewah akan menjadi lebih sengit dalam beberapa tahun akan datang.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CnEVPost

Exit mobile version