Site icon TechNave BM

Dua iPhone boleh lipat sudah melepasi ujian ketahanan, skrin OLED fleksibel

Terdahulu, kami telah memaklumkan mengenai Apple yang menguji beberapa iPhone boleh lipat untuk dikeluarkan di industri telefon pintar. Sumber kini melaporkan bahawa Apple sudah menguji dua prototaip iPhone lipat dan kedua-duanya sudah melepasi ujian ketahanan.

Pemakluman ini bukan perkara baharu kerana kami sudah memaklumkan bahawa Apple menguji prototaip iPhone lipat di kilang Foxconn Shenzhen, China. Namun, maklumat kali ini menjelaskan tentang iPhone lipat dengan lebih terperinci.

Menurut sumber, iPhone lipat pertama adalah dengan rekaan dua skrin dimana kedua-dua skrin disambungkan dengan engsel. iPhone lipat kedua pula adalah seperti Samsung Galaxy Z Flip. iPhone lipat kedua ini turut dilapor menggunakan skrin fleksibel OLED dari Samsung memandangkan Apple dahulu telah menempah sejumlah skrin boleh lipat dari Samsung pada awal tahun 2020 (mungkin untuk mengujinya).

Apa pun, iPhone boleh lipat ini mungkin masih perlu menjalani beberapa ujian lain untuk dipasarkan. Jika mengikut kepada sumber, iPhone lipat mungkin berada di pasaran pada seawal 2022 atau 2023.

Melihat kepada jenama lain yang dilapor bakal mengeluarkan telefon pintar boleh lipat pada tahun 2021, tidak mustahil jika Apple bakal menyusul kelak.

Apakah pandangan anda mengenai iPhone boleh lipat? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: macrumors

Gambar dari iPhone in Canada

Exit mobile version