Site icon TechNave BM

Dyson V12 Detect Slim dilancar di Malaysia: Vakum dengan teknologi pengesan laser berharga RM2,999

Dyson Malaysia hari ini telah melancarkan pembersih vakum wayarles terbaru iaitu Dyson V12 Detect Slim, dilengkapi teknologi pengesanan Laser Dust Detection yang boleh mengesan habuk sekecil 10 mikron. Laser tersebut dilengkapkan pada hujung vakum ini di mana pancaran cahaya berwarna hijau boleh mengesan habuk yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar.

Vakum ini dilengkapi motor Dyson Hyperdymium yang boleh menjana tenaga sedutan sebanyak 150 air watts dan penapisan lima tahap yang boleh menangkap sehingga 99% habuk sekecil 0.3 mikron. Berus vakum ini turut direka khas dengan bentuk kon (conical) agar rambut dan bulu tidak mudah tersangkut padanya.

Selain itu, ia turut dilengkapi sensor akustik piezo yang boleh mengukur jenis habuk yang disedut dan menunjukkan keputusannya dalam sebuah skrin LCD bagi memaklumkan kepada pengguna tentang tahap kebersihan lantai. Apabila sensor piezo ini mengesan jumlah habuk yang banyak, vakum ini akan meningkatkan kuasa sedutan secara automatik.

Dyson V12 Detect Slim (Fluffy) boleh dibeli pada harga RM2,999 di laman web Dyson Malaysia, kedai Dyson Demo di The Gardens Mall atau Mid Valley serta kedai Dyson Service Centre & Store di TTDI. Dyson Malaysia akan melancarkan dua lagi varian pada masa hadapan iaitu Dyson V12 Detect Slim (Total Clean) dan Dyson V12 Detect Slim (Absolute Extra).

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan vakum ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version