Edifier Malaysia telah melancarkan sepasang fon telinga wayarles baharu yang dikhaskan untuk kegunaan gaming iaitu Edifier Hecate GX05. Sebagai produk yang mengutamakan prestasi gaming, ia mempunyai tempoh kependaman (latency) yang rendah iaitu 15 milisaat sahaja, supaya pengguna boleh bertindak balas dengan cepat dalam game.
Untuk kualiti audio, Hecate GX05 menyokong codec audio LHDC untuk memberikan kualiti audio jelas dan lossless supaya pengguna boleh mendengar setiap langkah kaki atau tindakan dalam game, serta mempunyai pengiktirafan Hi-Res Audio Certification. Ia boleh dihubungkan melalui Bluetooth V5.3 atau dongle 2.4GHz kepada pelbagai jenis peranti.
Ia turut dilengkapi mikrofon yang membatalkan bunyi hingar persekitaran (environmental noise-cancelling) supaya suara pengguna boleh didengari dengan jelas oleh pemain lain dalam game.
Rekaannya pula dibina dengan besi aloi yang tahan lasak, serta mempunyai putik (earbuds) yang ergonomik untuk penggunaan yang selesa walaupun dalam tempoh lama. Lebih menarik adalah corak pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai pada fon telinga ini.
Edifier Hecate GX05 akan dijual pada harga RM509 untuk pasaran Malaysia. Layari laman web Edifier untuk maklumat lanjut mengenai aksesori ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

