Site icon TechNave BM

Eksport semikonduktor Malaysia dianggarkan mencecah RM1.2 trilion dalam tempoh 6 tahun

Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) mendedahkan eksport semikonduktor negara dijangka mencecah RM1.2 trilion menjelang 2030. Presidennya, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sasaran itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport ke-6 terbesar dunia dalam industri ini.

Tambahnya, sasaran itu mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira 7.6 peratus daripada nilai eksport semasa. Bagi mencapai pertumbuhan ini, negara kita perlu menumpukan pada peningkatan keupayaannya merentasi rantaian nilai semikonduktor termasuk pembungkusan termaju, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan pintar.

Kerajaan juga perlu bekerjasama dengan industri tempatan untuk menangani cabaran sedia ada terutamanya kekurangan bakat. Sehubungan itu, lebih ramai bakat tempatan mesti dikekalkan melalui inisiatif seperti biasiswa, program latihan rentas disiplin dan kerjasama dengan universiti.

MSIA mencadangkan bahawa Malaysia memerlukan 300,000 bakat untuk mencapai sasaran itu dengan 60,000 daripadanya merupakan bakat teknikal seperti saintis bahan dan ahli kimia serta jurutera. Kongsi pendapat anda tentang cadangan MSIA di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version